Ini adalah satu pemeriksaan untuk melihat secara terus ke dalam perut wanita melalui sejenis teropong yang digelar laparoskop. Teropong ini dimasukkan melalui satu hirisan sepanjang setengah inci di bawah pusat dan menerusi teropong ini doktor boleh melihat keadaan ovari, salur fallopian dan sekeliling rahim. Jika terdapat sesuatu penyakit yang menimbulkan masalah bagi kesuburan wanita, rawatan yang sewajarnya perlu diberi.
Pemeriksaan laparoskopi adalah sangat penting kerana memang terdapat penyakit seperti ketumbuhan dan jangkitan kuman yang tidak memberi sebarang tanda, boleh dikesan melalui teropong tersebut. Antara jenis penyakit yang selalu tumbuh ialah sejenis ketumbuhan yang digelar endometriosis. Penyakit ini kerapkali mengganggu pengeluaran benih dan ia juga menyekat saluran peranakan. Mengikut kajian kita, kejadian penyakit ini kian meningkat. Ini mungkin disebabkan oleh lebih ramai wanita zaman sekarang yang melambatkan perkahwinana ataupun menangguhkan kehamilan dan kelahiran anak. Wanita yang pernah mengalami keguguran sama ada secara sengaja atau tidak, kerapkali juga dijangkiti oleh kuman khususnya pada bahagian saluran peranakan. Saluran peranakan boleh menjadi rosak dan tersumbat. Ketumbuhan juga boleh berlaku pada kilang ovari dan ini boleh mengganggu pengeluaran benih. Sesetengah penyakit yang dikesan ketika pemeriksaan `laparoskopi' dirawat pada masa itu juga tetapi ini adalah terhad. Kadangkala, rawatan selanjutnya perlu dilakukan dengan satu pembedahan besar untuk mengatasi masalah saluaran tersumbat ataupun untuk mengeluarkan ketumbuhan pada rahim atau ovari. Untuk melakukan pemeriksaan laparoskopi, wanita berkenaan perlulah dimasukkan ke hospital, biasanya selama dua malam. Dia akan dibius bagi menjalani pemeriksaan ini.
Di Pusat Pakar Kesuburan LPPKN, pemeriksaan laparoskopi kerap dilakukan dengan tidak perlu wanita tersebut bermalam di wad. Mereka hanya perlu datang ke pusat tersebut pada sebelah pagi dan boleh pulang pada hari yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan